Friday, November 12, 2010

ERTINYA SEORANG SENIMAN


betapa dunia ini kelabu dan kaku
segala suara tanpa irama
segala gerak tanpa gaya
segala panorama tanpa warna
manusia pun membina impian
harapan dan fantasi

seniman, dalam hadirmu
kujiwakan impian dan fantasi itu
dalam senimu
dan seluruh kehidupan menjadi indah
seluruh dunia adalah pentas pawana
wangi dengan sanjungan

engkau pun menjadi hasrat dan harapan
bila kata-katamu adalah indungan
suaramu irama kehidupan
ketawamu muzik merdu
malah tangisan batinmu adalah hiburan
lalu seluruh dirimu lenyap dalam pemujaan
yang tiada batasnya

dalam hadirmu
disayangi dan diminati
segalanya dikagumi
lincah gayamu jadi keasyikan
juga cemuhan
santun membisu jadi pujian
juga momokan
perasaanmu tidak lagi disedari
dan kau tidak boleh lagi berhiba

kerana engkau bintang
harus tetap bersinar
sampai ke siang
engkau bukan lagi seorang insan
berdarah dan berjiwa
lalu engkau tidak diizinkan menderita
sekalipun dalam sejuta kepedihan
kerana engkau lambang kesempurnaan
fantasi dan nimpian
dipuja di puncak keagungan
lalu dilupai bila hilang seri

dan terpaksalah engkau wujud
menekan kesedihan
menyembunyikan kesepian
berbekalkan iman dan keyakinan
bahawa sesungguhbnya hidup ini
adalah lakonan.

Kuching
26 Ogos 1984

Sajak Saiee Driss dalam buku kumpulan puisi MAKNA terbitan GPPS, 1988


No comments:

Post a Comment