Wednesday, November 10, 2010

KEM PEMBANGUNAN BAKAT BPPMIS


Usaha memperkayakan bidang seni dan memupukkan bakat anak-anak muda diteruskan oleh pelbagai pihak dan agensi. Salah satu agensi yang ada program demikian secara tetap ialah Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak (BPPMIS) yang biasanya disebut Biro sahaja.

Mulai 22 November ini hingga 6 Disember nanti Biro akan mengadakan Kem Pembangunan Bakat di Pusat Kegiatan BPPMIS di Kampus SK (Agama) Datuk Haji Abdul Kadir Hassan di Jalan Sultan Tengah, Petra Jaya.

Sekitar 120 orang pelajar lepasan Darjah Enam, yang baru tamat pemeriksaan dan akan memasuki sekolah menengah tahun depan akan diberi bimbingan dan latihan dalam beberapa bidang iaitu lakonan dan teater, muzik dan nyanyian, penulisan kreatif, seni visual dan lukisan, bacaan al-Quran, dan kepimpinan.

Mereka akan dibimbing oleh tokoh-tokoh tempatan yang ada pengalaman dan terbukti kecekapan dalam bidang masing-masing. Bidang Muzik dan Nyanyian akan berada di bawah bimbingan Puan Jnucy Abdullah dan Reduan dari Sekolah Seni, Bidang Lakonan dan Teater dibimbing oleh Penghulu Haji Awang Bujang Hamdan dengan dibantu oleh Wezan Saili dan Beduwi Narawi, Penulisan Kreatif akan dibimbing oleh Jais Sahok (cerpen), Awang Rosli Awang Jaya dan Radin Azhar Ahmad (rencana) dan Pharo Abdul Hakim untuk bidang puisi. Ustaz Hashim Bolhi dan teman-teman akan membimbing kelas al-Quran sementara kepimpinan akan dbimbing oleh jurulatih dari BPPMIS, begitu juga acara sampingan dan rentasan iaitu Hadrah, Lagu Rakyat dan Marhaban.

Para pembimbing berkenaan atau wakil mereka telah menghadiri mesyuarat di Bilik Seminar BPPMIS di Jalan Haji Taha semalam.

Semoga anak muda yang beruntung kerana mendapat kemudahan ditawarkan kepada mereka ini akan beroleh manfaat daripada usaha tersebut.


No comments:

Post a Comment