Saturday, December 4, 2010


Wajah ini nampak berpotensi untuk satu watak lebih serius dan lebih mencabar di pentas tetapi setakat ini masih belum menerima kepercayaan pengarah untuk watak lebih luas tuntutannya untuk membolehkannya menunjukkan bakatnya.

Siapa dia? Dan apa watak yang dirasakan sesuai untuknya kalau anda pula jadi pengarah?

Beri jawapan anda dalam ruangan komen di bawah ini.

WAYNE ATAU WEN MENIARAP



Ini pula seorang bujang, Wayne atau Wen yang memegang watak Duen, seorang lelaki sotong cuba menghayati skrip dengan meniarap di lantai sejuk sambil berseluar pendek. Tak apa, dia cuci baju sendiri, suka hati dialah nak meniarapokah, atau telentangkah..

Wen memang luar biasa sikit cara dan [perangainya, tapi serius, dan gigih mencari rezeki sebab dia memberi tumpuan masanya sepenuhnya kepada pementasan dan pengurusan acara.





MENCARI ILHAM DAN CARA TERSENDIRI


Kalau seorang anak kecil meniarap begini di atas lantai latihan di Rumah Sarawak tentu emaknya marah kerana bajunya habis kotor. Lantai itu memanglah tak bersih sebab ribuan kaki berkasut dan tidak berkasut memijaknya.

Tapi gambar ini menunnjukkan seorang datuk yang meniarap penuh sudi kerana mencari ilham dan cara menghidupkan watak diserahkan kepadanya untuk pementasan Teater Darulhana.
Agaknya Cikgu Nek Yam tak berani marah kerana si datuk berbaju biru itu bukan sebarang orang.

Dia Hassim Tahot seorang pelakon dan pengacara popular yang telah menabur khidmatnya di merata tempat sejak beberapa tahun lalu.

Paling kuatpun nenek mengeluh ajelah dan cari sabun yang ada umph dan power untuk mencuci baju si datuk.



Thursday, December 2, 2010

MAS OH MAS, KE MANA HILANGNYA?


Pelakon, pengarah dan penyanyi yang terbukti berbakat, Mastijah Masleh telah hadir pada peringkat awal kasting dan raptai di Rumah Sarawak. Dia datang dengan anak angkatnya sekali. Lepas itu lesap begitu sahaja.

Dalam senarai tenaga produksi awalnya namanya diletakkan sebagai orang busana dan kostum. Kini nampaknya namanya sudah tiada diganti oleh orang lain.

Ke mana hilangnya Mastijah?

CABARAN UNTUK BANG ACIM


Alahai dah nasib pelakon Hassim Tahot yang terkenal sebagai Bang Acim yang suka dan pandai benar berlawak. Di dalam kehidupan seharian dia seorang pengacara yang glamor dan banyak mendapat tempahan untuk mengacarai majlis rasmi dan persendirian. Malah katanya tempahan untuk perkhidmatannya sudah sampai hujung tahun 2011.

Dalam Teater Darulhana Hassim juga diberi watak pengacara bangsawan. Bunyinya senang tetapi sebenarnya payah untuk Bangsa Acim menunjukkan keistimewaan persembahan di dalam Darulhana kerana gayanya terbawa-bawa gayanya mengacara majlis di luar Darulhana.

Dengan suasana itu amat payah untuk Bang Acim menunjukkan bakat sebenarnya sebagai pelakon dan kehadirannya semacam kurang terserlah dan kurang disedari.

Kesian, ya Bang Acim. Tapi yang penting semakan kerjasama ditunjukkan oleh Hassim dalam projek Darulhana.

Hidup Bang Acim.

SAEIT SEMAKIN SELESA JADI PENGURUS PENTAS

Bang Saeit kita nampaknya semakin selesa dengan tugasnya sebagai Pengurus Pentas. Dan dia kelihatan cekap dan tegas mengendalikan tugasnya.

Sayangnya dengan tugas itu kita tidak berpeluang menonton Saeit menari macam Ali Mohamad yang membawa peranan sebagai Zuki samseng kampung.

Tapi tak salah Saeit masuk sama belajar menari daripada pakar tari terkenal Sharkawi Haji Amit.

Masuk aje belajar untuk kegunaan lain kali selain dapatlah juga senaman untuk mengeluarkan peluh.

Selain seorang pelakon pentas, radio dan televisyen, Saeit adalah seorang pegawai Ikatan Relawan Rakyat atau RELA yang dihormati oleh anggota-anggota RELA di Kuching.

Agaknya sesudah belajar menari bolehlah Saeit mengajar tarian kepada ahli-ahli RELA selain daripada mengajar mereka lagu rakyat seperti selama ini.



MALEK BELAJAR JADI LEMBUT WATAK LEMBUT?

















Malek Hassan adalah seorang insan seni yang serba boleh. Sebagai pelakon tidak perlu diragui kemampuannya. Dia pernah memenangi hadiah dalam bidang berkenaan.

Kalau nak cakap tentang deklamasi puisi pun tidak ada keraguan kerana dia banyak pengalaman malah pernah bertanding ke peringkat negeri.

Tahun lalu Malek memperkenalkan deklamasi ala qasyidah yang cukup mendapat sambutan.

Bagaimanapun dalam Projek Teater Darulhana Malek berhadapan dengan satu cabaran yang lain daripada yang pernah dihadapinya.

Dia yang berlakon sebagai Duen ketika tua terpaksa membawa watak seorang lelaki lembut, bekas tauke bangsawan.

Cabaran ini semakin berat kerana watak Duen Muda dimainkan oleh Wen yang mdemang ada keistimewaannya dengan watak itu.

Memandang wajah Malek dalam gambar di sini, akan berjayakah Malek memainkan peranan pondan tua yang latah-latah, dan sekejap-sekejap angkat bertandak lagub tandak tradisi Sarawak.

Maka kita akan mendengar Malek latah, Malek bertandak dan menyanyi sambil cuba memaparkan kesotongannya.

Wednesday, December 1, 2010

SATU WATAK DUA PELAKON?



Hasanah Hashim

Kamalia @ Marlia


Jarang ada pementasan yang mendapat sambutan sedemikian hebat dari kalangan mereka yang terlibat di dalam lakonan dan pementasan.

Penolong Pengarah persembahan, Baduwie Narawi berkata inilah kali pertama satu kerja pementasan teater dikerumuni oleh sedemikian ramai artis. Demikian baik sambutan sehingga hampir sewtiap malam diadakan latihan adalah mereka baru yang datang merisik kalau ada peranan boleh dibawa.

Baduwie mengaitkan sambutan itu dengan kerjasama dan semangat yang ditiupkan oleh Majlis Ramah Tamah Anak Seni Aidilftiri yang lalu.

Sambutan luar biasa anak seni terhadap projek juga menarik perhatian Presiden Medan Teater Negeri Sarawak yang menyatakan kekaguminya terhadap semangat, komitmen dan kerjasama anak-anak seni terahdap projek berkenaan walaupun tiada pihak yang menjanjikan ap-apa ganjaran untuk sumbangan tenaga, masa dan fikiran mereka.

Sedemikian hebat sambutan sehingga dua watak utama iaitu Syed Daniel dan Darulhana setakat ini dimainkan semasa latihan oleh lebih daripada seorang pelakon.

Kini watak Syed Daniel dikatakan akan diserahkan kepada Jalot Jeman yang tidak berjaya meneruskan cabaran di dalam Pilih Kasih di TV1. Sebelumnya watak itu dipegang oleh Royston Sylvester Kulleh. Dalam sesi latihan belakangan ini tidak nampak lagi wajah Royston.

Watak Darulhana telah dikaitkan dengan empat lima nama. Hasmiliya atau Liya memulakan latihan sebaik sahaja sesi dimulakan. Ketika latihan sebulan itu telah disebut-sebut nama Hamidah Tuah atau Meedot dan Mawar dari JKKNS. Meedot dan Mawar tidak pernah muncul atas sebab komitmen masing-masing.

Pada suatu malam tiba-tiba muncul seorang gadis seksi dan berwajah ayu, Kamalia atau Marlia yang dikatakan pernah terlibat di dalam lakonan drama tv dan pernah menyertai Grup Teater Ngoncong.

Dengan sendirinya Liya mengundurkan diri, dengan memberi alasan dia akan pergi ke Sabah dengan rombongan sesama guru untuk mendaki Gunung Kinabalu. Katanya kunjuungan ke Sabah memakan masa dua minggu. Maka memang wajar dia tidak dapat meneruskan cabarannya.

Sejak itu Marlia menghiasi pentas apabila sesi latihan diadakan di DBP Sarawak. Sebagaimana Liya yang mengaku kurang pengalaman, Marlia agak kurang pengalaman, suara terlalu kecil (kata sesetengah orang) dan perlu belajar menari dan menyanyi untuk watak seri panggung.

Ada juga khabarnya Awang Bujang berhasrat meletakkan anaknya Dayang Kartini untuk peranan penting itu dan Dayang Kartini seminggu lepas mengambil cuti seminggu dari tugasnya sebagai tenaga pengajar teater di ASWARA di Kuala Lumpur, lalu datang ke tempat latihan. Kartini bagaimanapun tidak pernah naik pentas untuk latihan.

Dalam sesi .latihan minggu lalu menjelma pula Hasanah Hashim (adik Hashimah Hashim) seorang penyanyi dan penari yang pernah mengadakan persembahan di merata tempat di negara ini khususnya di Sarawak.

Hasanah yang pernah terlibat di dalam penerbitan rancangan televisyen melalui sebuah syarikat penerbitan tempatan memang bersara lantang dan seksi.

Oleh kerana badan dan wajah kedua-duanya hampir serupa dan menurut Awang Bujang dengan seni mekap di bawah Saniah Zainuddin mereka boleh dhias bagaikan seorang sahaja iaitu Darulhana.

Maka keputusannya akan berlakon dengan Marlia untuk bahagian lakonan dan Hasanah atau Sanot untuk bahagian nyanyian. Wah hebat susunan itu. Maka Sanot harus akur yang lakonannya tidak mantap dan Kamalia juga harus sedar yang nyanyian dan tariannya tidak mantap.

Ada juga cadangan supaya mereka memainkan peranan Darulhana bergilir-gtilir.

Tuesday, November 30, 2010

PERTEMUAN PENGARANG SARAWAK 2010


Ini gambar sebahagian daripada peserta dan pembentang kertas kerja di pertemuan yang berlangsung dari Kampus UPM di Bintulu.

Saya dan Datu Dr Haji Adi Badiozaman Tuah terlibat di dalam pertemuan itu. Datu Adi menyampaikan ucaputama dan saya membentanngkan kertas kerja.

Datu Adi tiada dalam gambar kerana beliau terpaksa bergegas balik ke Kuching disebabkan ada urusan kerja yang memerlukan perhatian segera.

BEBERAPA PERKEMBANGAN




Malam tadi, 29 November 2010 diadakan satu mesyuarat pengurusan penerbitan Teater Darulhana. Banyak perkara ditimbulkan dan diputuskan.

Persembahan Teater Darulhana the musical akan diadakan akhir Mac 2011 memandangkan beberapa kerumitan teknikal dari segi penguyrusan menjelang hujung tahun ini. Juga dirasakan agak susah menyiapkan elemen tarian dan nyanyian dalam masa yang amat terhad sekarang.

Bagaimanapun pementasan teater Darulhana akan diteruskan sebagai sebahagian daripada acara sambutan tahun baru. Itu akan merupakan persembahan tanpa gerak tari muzikal, hanya elemen nyanyian integral dipersembahkan.

Selepas itu akan diadakan pementasan fragmen Darulhana The Musical dalam acara persembahan puisi ke sekolah-sekolah sekitar Kuching yang akan dikelolakan oleh Jawatankuasa Penerbitan dan Pengurusan. Persembahan fragmen itu bertujuan memperkukuhkan persembahan melalui eksperimen dan memperluaskan publisiti sambil memperluaskan khalayak melalui pendidikan seni partisipatif.

Oleh kerana jadual latihan akan disusun semula dan pemasukan elemen tarian dan muzik/nyanyian akan dimantapkan mulai sekarang.

SEDANG CUTI REHAT



Banyak perkembangan sejak entri yang lepas dan saya belum menyediakan entri baru sejak 23 November kerana saya telah sibuk dengan Pertemuan Pengarang Sarawak 2010 di Bintulu. Saya telah bentangkan kertas kerja dan terlibat sepenuhnya sepanjang pertemuan tiga hari sejak Jumaat lalu.

Ketika ini pula sedang berlangsung Kem Pembangunan Bakat para pelajar lepasan UPSR di SK(A) Datuk Haji Abdul Kadir Hassan. Seramai 90 orang pelajar terlibat di dalam bengkel penulisan kreatif, bengkel muzik dan nyanyian, bengkel lakonan dan teater, bengkel seni visual, bengkel bacaan al-Quran dan bengkel kepimpinan.

Turut bertugas sebagai fasilitator di kem bakat itu ialah Wezan Saili dan Beduwi Narawi.

Selepas ini saya akan terlibat di dalam penuh di dalam Baca Puisi di Laman Semandin dikendalikan oleh Ismail Hamdan Semandin sempena Maal Hijrah. Sesiapa yang ingin terlibat sama boleh ikut serta dalam acara santai itu. Ini elok untuk yang tidak pernah mendeklamasikan puisi.

Lepas itu saya mengetuai kumpulan pelaporan di Bengkel Bina Upaya Ummah di Pantai Damai bermula 10 Disember 2010.

Dengan jadual yang ketat begini ada kemungkinan saya akan berundur dari produksi Teater Darulhana.




Tuesday, November 23, 2010

JALOT JEMAN DIPELAWA UJI B AKAT



Begitu rumit agaknya mencari pelakon yang paling sesuai untuk watak Syed Daniel sehingga salah seorang peserta favorit dari Sarawak di dalam Pilih Kasih, Jalot Jeman telah dipelawa untuk sesi latihan demi menjalani uji bakat untuk watak itu.

Jalot dengan pengalamannya dalam bidang teater sekian lama, kebolehannya menari dan menyanyi memang memiliki kelebihan. Sebaik saya dia masuk pentas dan mula berlakon rakan sepentasnya dalam babak berkenaan iaitu Wahab Firdaus dan Dayang Radzifah, kedua-duanya memang sudah berpengalaman dapat menghidupkan babak itu dengan begitu berkesan.

Babak yang penuh emosi dan pertentangan pendapat di antara ibu dan ayah dengan anak mereka dapat diangkat dengan berkesan.

Apakah Jalot akan diberi watak itu?

Ada masalah lagi sebenarnya. Jalot semakin kukuh kedudukannya di dalam Pilih Kasih. Kalau ditakdirkan dia terus ke peringkat akhir, maka Jalot tidak dapat komited dengan kerja barunya itu.

Pening lagi.


Monday, November 22, 2010

DAYANG RADZIFAH TUNJUK TARING


Huuuuh. Sesekali Dayang Radzifah diberi peluang naik ke pentas menunjukkan taringnya dalam lakonan bergegar juga pentas dan dewan dengan kehebatan lakonannya.



Dalam latihan pada 22 November di DBP Sarawak Dayang berlatih watak Syarifah Yot, ibu Syed Daniel.

Dia dapat menimbulkan rasa meluat dengan lagak sombongnya sekali gus rasa gerun di hati penonton dengan lontaran suara dan keterampilan watak Syarifah Yot.



Bravo Suhom @ Cikgu Dayang. Sementara itu Tini yang sebelum ini memegang watak itu telah menunjukkan persembahan yang tidak kalah hebatnya. Memang hebatlah mereka sekarang berbekalkan kecekalan, pengalaman dan kemahuan yang kuat mahu berjaya.

Cikgu Dayang Radzifah Awang Umar di kalangan rakan-rakan seangkatannya dikenali sebagai Suhom iaitu watak dibawanya dalam Tugau drama yang legenda tulisan bersama dan arahan Zaini Ozea dan Allahyarham Mohd Esmawi Haji Husly dan pernah diarahkan oleh Glen Walford, seorang pengarah teater dari England.

Watak Suhom begitu berkesan dibawanya sehingga lekat nama itu padanya.

DARULHANA: YANG MANA SATU.....

KAMELIA

Dah lima nama setakat ini disebut akan memegang watak Darulhana di dalam pementasan Teater Muzikal Darulhana di Kompleks DUN lama di Petra Jaya pada 30 dan 31 Disember tahun ini dan 1 Januari tahun depan.

Yang sudah berlatih lakonan selama sebulan ialah Liya atau Hasmiliya Kassim, sementara nama Hamidah Tuah dan Mawar tersingkir walaupun ada kemampuan dan kelayakan kerana mereka masing-masing ada komitmen.

Malam 22 November ada tiga calon hadir di sesi latihan di Laman Seni, DBP Sarawak di Jalan Tun Abdul Rahman Yakub. Naik ke pentas untuk latihan kali pertama ialah Kamalia yang dikatakan pernah terlibat di dalam penggambaran drama tv tidak lama dahulu. Boleh tahan juga ligat lenggoknya dengan Cik Cik Bung. Riuh rendah dewan dibuatnya.

Memang ada rupa dan ada body untuk digilai oleh Zuki dan dimimpikan oleh Syed Daniel.


HASMILIYA

Liya juga hadir dan kali ini hanya menjadi pemerhati sambil tangannya lihat menghantar sms entah kepada siapa. Dengar khabar dia bercuti dua minggu dan akan mendaki Gunung Kinabalu dengan rakan-rakan sejawat iaitu cikgu-cikgu yang kini menikmati cuti sekolah.

Sekembali dari bercuti, dengarnya Liya akan diserap kembali ke dalam persembahan dengan peranan yang lain pula.






DAYANG KARTINI AWANG BUJANG

Turut hadir dalam sesi latihan pada 22 November ialah Dayang Kartini tenaga pengajar di ASWARA dan pernah bertugas di Istana Budaya. Kartini lulusan bidang seni persembahan dari UNIMAS sentiasa mengikuti perkembangan persembahan ini di blog ini dan di Facebook.

Kartini yang pernah mengadakan persembahan di Kuching dan mencatat kejayaan dengan drama Atap Genting Atap Rumbia arahan A.B.Nor.

Kartini memiliki kelebihan kerana pengalamannya luas termasuk penglibatan dalam persembahan di Istana Budaya semasa bertugas di sana dan kini dalam acara-acarta ASWARA yang menjadi satu-satunya institusi pengajar kesenian di negara ini.

Dia boleh menyanyi dan menari dan berlakon.


IMEJ BARU SYED DANIEL

Nah! Ini imej baru Syed Daniel yang dilakonkan oleh Roy Slyvester.

Dalam masa lebih sedikit sebulan Awang Bujang dan Baduwie akan mengubah imej ini menjadi seorang pemuda bangsawan yang lemah lembut sifatnya dan menghormati orang tua yang amat tegas mempertahankan darah keturunan dan enggan bermenantukan Darulhana, wanita seri panggung.

Itulah asas tema teater muzikal Darulhana. Hujungan ceritanya .. lu fikirlah sendiri.

Bagaimana hujungan pembentukan imej dan watak Syed Daniel Syed Mahdar lakonan Roy menjadi cabaran kepada pengarah, penolong pengarang dan pemegang watak.

Baduwie menjelaskan bahawa sebenarnya kesemua pelakon setakat ini masih dalam proses ujian untuk memegang watak-watak dan belum ada ketetapan muktamad.

Habis, kalau bukan Roy siapakah yang akan diberi watak Syed Daniel?

Ada beberapa nama telah disebut. Entah.

Friday, November 19, 2010

SUATU KETIKA DULU

Tempatnya di Tanjung Lubang, Miri dan sekitar 2 Januari 1981 selepas habis sambutan Manifestasi Budaya Sarawak 1 di Kolej Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang di Miri.

Gadis bersama saya itu Norani Abdullah, satu-satunya gadis India menganggotai Kumpulan Seri Sarawak/Seri Tarina ketika itu.

Manifestasi Budaya adalah satu acara tahunan mulaqi 1981 hingga 1984 anjuran anak-anak seni sendiri tanpa arahan dan dengan sokongan minimal daripada Kerajaan.

Dalam pada itu kami dapat mengadakan seminar budaya, pameran seni, permainan rakyat, lawatan sambil belajar dan kemuncaknya Majlis Memperingati Sumpah Budayawan dihadiri oleh Bapa Budayawan Allahyarham Datuk Haji Nor Tahir.

Entah bagaimana kami berani membawa rombongan lebih 40 orang dengan kapal terbang dari Kuching ke Miri dan bila nak balik, aduh kena cari tambang dan minta sana sini. Datuk Haji Nor akhirnya membiayai semua atas sumbangan peribadinya.

Susah nak difaham sekarang bagaimana anak sekum;pulan muda berusia sekitar 30-aan ketika boleh mengendalikan sendiri seminar, pameran dan sebagainya tanpa dokongan jelas daripada mana-mana pihak. Ini berlaku kerana semangat Sumpah Budayawan dan Seniman Muda Sedar Sarawak.

Masa itu Adi Badiozaman Tuah adalah pengerusi, Saiee Driss menjadi Setiausaha dan Awang Bujang Hamdan bendahari. Hahaha jadi juga rupanya, tak payah marah-marah dan merengek-rengek..


NARAWI RASHIDI BERKATA

Pengarah Muzik dan Nyanyian Projek Teater Muzikal Darulhana telah menghantar komentar di bawah ini melalui Facebook.

Rangka muzik2 Darul Hana dah ada, cuma belum proses rakaman. Terdapat beberapa lagu atau irama adalah ciptaan baru namun akan mengekalkan elemen muzik2 melayu.

Tak tahu lagi mana nak cari dana untuk membiayai rakaman?

Biasalah...muzik, melibatkan kos studio, sessionist dan lain-lain. Tapi saya nak cadangkan Soundtrack dibuat sebaik mungkin agar kualiti persembahan menyerlah.

Dan muzik tersebut kita boleh di "CD" kan dan dijual pada pementasan tersebut nanti. Mungkin hasil jualannya akan sedikit sebanyak dapat membantu menanggung kos pementasan atau kos rakaman itu sendiri.


Thursday, November 18, 2010

MASLI SULAI TERUNA SABAR

Masli teruna pendiam bukan Cina tulen tetapi anak IMalaysia yang wajah Cina jadi cirinya kerana ibunya memang keturunan Cina diangkat keluarga Melayu.

Dia bujang terang tang, dan belum ketemu jodoh. Agaknya macam lagu Cari Jodoh oleh Wali Band yang popular.

Nak dikata tak hensem tak juga. Boleh tahan hensemnya, dengan kulit putih dan badan gempal .
Itu cerita sampingan sebenarnya. Yang nak diceritakan ialah Masli sudah berbelas tahun rasanya terlibat di arena teater, sehingga kini belum ketemu kejayaan yang boleh dicatatnya sebagai titik perubahan di dalam hidupnya sebagai seorang anak seni.

Sekalipun demikian boleh dikagumi kerana dia tidak serik dan sentiasa menerima apa sahaja peranan dan tugas.

Bila berlatih dia sungguh-sungguh dan dalam latihan tarian boleh tahan juga lintuk liuknya menari di bawah bimbingan Wen, seorang bekas penari profesional.

Dalam pementasan Teater Muzikal Darulhana Masli dapatlah satu peranan kecil sebagai orang kampung dan rakan kepada Darulhana. Itu pun belum tetap sama ada kekal dengan peranan itu atau tidak.

Sabar ajelah Masli. Lepas ini cubalah pula menyimpang ke bidang nyanyian dan tarian secara lebih serius. Mana tau dengan menyanyikan lagu Cari Jodoh misalnya sambil menari dalam extra-turn bangsawan akan ketemu titik perubahan dalam kehidupan.

MALEK HASSAN YANG SERIUS BERLAKON


Malek Hassan berlatih seorang di sebalik alat-alat pembesar suara
ketika kawan-kawan melakonkan babak lain.

Satu ciri yang harus dihormati pada Malek Hassan ialah komitmen dan keseriusannya menjalankan kerja berlakon. Apabila diberi peranan Malek akan berlatih bersungguh-sungguh dan selagi tidak puas hati dengan pencapaiannya sendiri Malek akan kelihatan serius dan kadangkala bingung.

Dalam Teater Muzikal Darulhana Malek diberi peranan sebagai Duen sudah tua sedang Syed Daniel masa muda pula dipegang oleh Wen. Kedua-duanya pelakon hebat dan telah membuktikan kemampuan namun kali ini cabarannya lebih berat kepada Malek kerana perlu meniru dan memerhati keletah si Wen yang cukup istimewa dan memikirkan mana satu sifat dalam lakonan Wen sebagai Duen muda perlu dikekalkan sebagai sifat kekal.

Apa-apa pun teruskan Malek. Malek boleh!

LAMAN SENI DBP TEMPAT LATIHAN BARU

Helo, helo. Kita ke Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak di Petra Jaya untuk latihan Teater Muzikal Darulhana mulai Isnin.

Pihak pengurus persembahan sudah meminta kebenaran Datu Presiden Mantera supaya mulai Isnin, 22 November 2010, setiap Isnin hingga Rabu, latihan untuk Teater Muzikal Darulhana akan berlangsung di Laman Seni Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, Jalan Tun Abdul Rahman Yakub, di Petra Jaya.

Waktu latihan seperti biasa iaitu mulai jam 8.30 malam hingga sekitar 10 malam.

Sesi latihan akan ditambah apabila semua elemen pementasannya lengkap dengan muzik, nyanyian, tarian dan sebagainya.

Laman Seni ialah ruang persembahan di luar kantin DBP Sarawak.

Sebelum ini latihan untuk persembahan seni budaya memang biasa diadakan di DBP, sejak bangunannya di Simpang Jalan Rock dan Batu Lintang lagi.

Kalau hujan tidak turun dengan lebatnya, laman itu memang sungguh selesa untuk menjadi tempat latihan aktiviti seni.

Tuesday, November 16, 2010

HASMILIIYA ITU DARULHANA?

Ini Liya. Dia seorang guru bertauliah lulusan Diploma Pendidikan dari salah sebuah Institut Pendidikan Guru di negeri ini.

Di institut dahulu dia mengikuti pengajian drama tari sebagai salah satu subjek.

Nama penuhnya Hasmiliya Kassim dan kini mengajar di salah sebuah sekolah di Bahagian Samarahan.

Setiap malam ada latihan dia memandu sendiri keretanya dari Desa Ilmu di Kota Samarahan ke Rumah Sarawak. Lepas berlatih lewat malamnya dia memandu keretanya balik ke rumahnya.

Malam pertama latihan keretanya pancet dan terpaksa menumpang rakan balik ke rumah dan esoknya ke tempat kerjanya. Begitu mendalam minatnya untuk menjayakan Teater Muzikal Darulhana.

Semasa di institut perguruan Liya yang turut mengambil pengajian seni pernah mewakili institut ke Pesta Dramatari Institut Perguruan peringkat Negeri dalam mana Liya terpaksa menyanyi dan berlakon, iaitu ciri diperlukan oleh watak Darulhana dalam pementasan Teater Muzikal Darulhana.

Kini Liya melalui satu episod pengalaman yang cukup aneh dan bagi sesetengah orang memilukan. Dalam latihan demi latihan dia memegang watak Darulhana, heroin, tapi diberitahu yang dia bukan pemegang sebenar watak itu.

Kenapa? Mungkin kerana sebagai pelakon tunggal bertudung dalam kumpulan pelakon yang ada sekarang, orang sangsi kemampuan sebenarnya Liya berlakon dan mungkin imej bertudung itu menyebabkan orang tidak yakin akan kemampuannya memegang watak seri panggung yang terkenjit-kenjit dengan Cik Cik Bong. Aneh bukan.

Liya rasanya belum menunjukkan kemampuan sebenarnya menyanyi dan menari dan dia ada memiliki raut wajah yang boleh menggerak emosi simpati, iaitu wajah Darulhana. Dan dia juga memiliki sifat tegas dan berani, juga watak Daerulhana.

Dalam latihan pun dia sudah menunjukkan kemampuan sebenarnya berlakon dan hanya belum menunjukkan kehebatan sebagai penyanyi dan penari. Ini mungkin silapnya.

Liya cukup sabar melaksanakan tugasnya dalam latihan dengan baik sehingga boleh menggerakkan pelakon lain, termasuk watak Zuki dilakonkan Ali Mohamad dan Syed Daniel dilakonkan oleh Royston melaksanakan lakonan mereka dengan baik.

Entah bagaimana rasa hatinya kini melaksanakan tugas itu sedangkan dia sedar yang diri hanya stand in dan akhirnya mungkin diberi watak kecil sampingan atau tidak ada tempat langsung.

Apa-apapun Liya, anda anak seni sejati, yang sabar menghadapi tugas dalam seni sekalipun sedar pancaran lampu sorot nanti akan menyorot ke wajah lain. Tak cantikkah Liya?

GADIS CEMERLANG SYIKIN DAPAT 5A


Nama panggilan manja gadis ini Syikin atau Syafikah. Nama penuhnya pula Nur Syafiqah Asyikin Hazzuki. Badannya nampak montel dan tembam tapi dua baru lepas Darjah Enam dan dalam UPSR lepas dia dapat 5A.

Wow, tahniah Syikin, seorang lagi anak cemerlang daripada keluarga orang seni. Siapa kata orang seni asyik dengan seni dan tak tahu ajar anak?


Ini ibunya, pelakon Saniah Zainuddin, yang sejak remaja lagi sudah merayau di atas pentas dan sanggup merantau mencari ilmu sampai ke USM. Bidang pengajian dulu persembahan bangsawan.

Sesuai dengan minatnya Saniah mahu anak gadisnya masuk Sekolah Seni Kuching dan menjadi orang seni profesional dan bertauliah.

Tapi anak gadisnya kurang minat ke situ walaupun ada bakat. "Syikin mahu jadi profesor Sejarah' katanya.


Ayahnya Hazzuki Hazmi tidak berapa mahu mempengaruhi jalan hidup anaknya dan membiarkan dia memilih sendiri.

Dalam pementasan Darulhana ayah si Syikin bertugas sebagai Pengarah Teknikal dan Audio yang setiap kali latihan ada datang untuk memerhati. Katanya dia datang untuk memberi sokongan moral kepada rakan-rakan.

Ibu Syikin bertugas sebagai Pengarah Tatarias atau Mekap dalam produksi kali ini. Nak berlakon watak Darulhana tidak sesuai untuknya kini. Kalau dulu semasa dia pernah dinobatkan sebagai pelakon terbaik mungkin sesuai.

Tahniah sekali lagi kepada keluarga kini.

.. DARULHANA AAAAAA, MANA DARULHANA?


Inikah dia gadis seri panggung bangsawan itu?


Yang pemalu ini mungkin Darulhana. Darulhana?

Eh? Ini macam yang tadi. Ini Darulhanakah?

WATAK SYED DANIEL DILAKONKAN OLEH...


Inilah hero Teater Muzikal Darulhana. Peranan Syed Daniel, orang berdarah mulia dimainkan oleh Royston Kulleh Slyvester, keturunan Iban.

Roy menunjukkan lakonan yang cukup memberangsangkan, malah ramai di kalangan pelakon tidak sedar yang dia bukan keturunan Melayu. Roy akan melaluin ujian seterusnya iaitu menyanyi dan menari dan sebagai pemegang watak hero tuntutan baginya mengangkat emosi amat berat. Kita yakin Roy mampu melaksanakan tugasnya.

Tahniah Roy.

Monday, November 15, 2010

SENYUMAN MENAWAN


Senyuman mereka akan mendebarkan dada para penonton semasa pementasan Teater Muzikal Darulhana. Siapa mereka? Kita akan hurai dan perkenalkan mereka bila tiba masanya nanti. Iktui terus paparan semasa ke semasa di blog ini. Cantik kan, mereka ni?

SEMUA PELAKON BELAJAR MENARI


Apabila disebut sebuah persembahan teater muzikal maka tidak boleh tidak mesti adsa nyanyian dan tarian. Fulamak.... semua pemegang watak tak kira apa bentuk badan atau usia kena belajar menari.



Minggu lepas Pengarah Tari dan Kareografer, Sharkawi Haji Amit telah mengadakan kelas bimbingan khas untuk para pelakon di studionya Caperena di Batu Tiga. Di tempat latihan di Rumah Sarawak Wen pula jadi guru tari. Wen memang layak kerana dia pernah menjadi penari profesional di sebuah resort antarabangsa semasa di Kuala Lumpur suatu ketika dahulu.




Bayangkan Zuki yang kaki tumbuk dan belasah menari dalam lakonan ganasnya. Dan Ali yang memegang watak Zuki tidak memandang ringan hal itu. Apabila orang lain sudah berhenti berlatih di ruang utama Ali dengan seorang rakan berlatih sendiri di ruang lobi Rumah Sarawak.



Akibat syarat itu, KK Tuan Haji Kassim juga kena belajar balik menari. Tapi bagi Pak Haji Kassim itu bukan asing sebab pada waktu muda dan semasa mengadakan bangsawan dia biasa menari dan kali terakhir dia menari kalau tak silap ialah ketika RTM mengadakan ulangtahunnya ke-30 pada tahun 1973 di Kuching.


Di sini keliharan KK Haji Kassim Daud, Masli Sulai, Wezan, Shikin, Ali Mohamad dan lain-lain mengikut arahan Wen yang menjadi jurutari.






SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua pengunjung blog ini.

Semoga kita dirahmati dengan kesejahteraan dan kebahagiaan berpanjangan oleh Allah agar dapatlah kita terus memanfaatkan suasana dan usia kita untuk beramal ibadah dan melaksanakan tugas dengan ikhlas semampunya.

Manusia diletakkan di muka bumi untuk memewahkan bumi dengan kebijaksanaan dan akal budinya sebagai khalifah serta sentiasa melakukan ibadah kepadaNya sebagai hamba yang setia.

DATUK DR HAJI ADI TURUN GELANGGANG

Datu Dr Haji Adi Badiozaman Tuah mendengar taklimat Baduwie Narawi selaku
Penolong Pengarah sementara Saeit Ahmad dan Hazuki Hazmi di belakang.


Presiden Medan Teater Negeri Sarawak (MANTERA), Datuk Dr Haji Adi Badiozaman Tuah turun gelanggang dan menjenguk anak-anak buah berlatih lakonan teater muzikal Darulhana di Rumah Sarawak malam ini tadi. (15 November 2010)

Sejurus tiba anak-anak seni yang hadir bertepuk tangan menyambut beliau dan terus mengerumuni beliau untuk berjabat tangan. Kelihatan di atas Ali Mohamad dan Malek Hasan sebagai pelakon dan Saeit Ahmad selaku Pengurus Pentas menunjukkan skrip yang sedang mereka baca dalam latihan itu.


Datuk Adi bersila di lantai simen sejuk sambil mendengar taklimat daripada Awang Bujang


Seperti biasa Datuk Adi sedia duduk bersama-sama di lantai ketika mendengar taklimat dan penerangan daripada Penghulu Haji Awang Bujang Hamdan selaku pengarah Teater Muzikal Darulhana.

Ali Mohamad, Malek Hassan. Saeit Ahmad dan rakan-rakan menunjukkan skrip kepada Datuk Adi.

Dalam ucapan ringkasnya di pertemuan itu Datuk Adi yang juga Sasterawan Negeri mengucapkan terima kasih kepada semua mereka yang terlibat, tua dan muda kerana menunjukkan komitmen tinggi dalam keterhadan masa dan dana.

Bagi sesetengah pelakon di situ inilah kali pertama mereka bertemu tokoh budaya negerin yang menjadi pengasas Sekolah Seni di Malaysia dan juga pengasas dan penggubal teks Sumpah Budayawan dan Seniman Muda Sedar yang mengungkapkan semangat 1Malaysia 30 tahun lebih awal daripada ia menjadi gagasan negara oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.



ZUKI MENGAMUK LAGI



Set Teater Muzikal Darulhana malam ini tadi (15 November 2010) lagi apabila Zuki (lakonan Ali Mohamad) menyiksa mangsanya habis-habisan.

Ini adegan siksaan itu yang sempat kita rakam semasa diadakan latihan keempat malam ini. Ali terus berusaha merangsangkan rakan-rakan seperjuangan dalam pementasan itu untuk menghayati watak dengan menunjukkan aksi yang kadangkala menggerunkan.



Memang hebat Ali menunjukkan lakonannya sehingga sebahagian pelakon muda tergamam dan kecut perut. Hanya apabila babak siksaan itu tamat dan mereka semua ketawa barulah disedari yang semua yang Ali dan rakan-rakannya lakukan adalah lakonan dan menghidupkan wataknya.




Sunday, November 14, 2010

HIT 2000



... angka hit 2000 dicapai oleh blog ini pada jam 11 malam tadi, 14 November 2010. Itu kadar yang cukup cepat.

Diharap dengan adanya chat box dan dibuka ruang komenter akan lebih ramai singgah di sini.

Singgahlah.

Saturday, November 13, 2010

NAK KOMEN TAK BOLEH


Mejaku di pejabat BPPMIS Jalan Haji Taha

Pelakon Teater Muzikal Darulhana, Ali Mohamad mengadu ada ramai kawan dan peminat mahu membuat komen di blog ini di tetapi disebabkan mereka tidak memiliki akaun Google, atau Yahoo maka tidak boleh. Mereka tidak puas dengan membuat komen di link pada Facebook.

Saya cuba untuk membantu membolehkan mereka memasuki ruang komen tetapi setakat ini belum ketemu caranya sebab tidak mengetahui kaedahnya.

Ada sesiapa yang tahu bagaimana mereka yang tidak ada akaun Google dan Blogspot boleh memasukkan komen mereka?