Sunday, March 6, 2011

ZAKARIA HASSAN



Banyak peminat anak teruna terang tang tang ini, tapi banyak juga misteri sekitar hidupnya. Dia pernah bertugas di UNIMAS sebagai pensyarah tetapi entah apa sebab keluar dari jawatan itu dan menyepi untuk beberapa ketika.

Pernah jatuh sakit teruk untuk beberapa ketika, berubat ke sana ke mari lalu ketemu penawar pada seorang rakan anak seni dan sembuh segera selepas itu.

Bekerja seketika dengan SEDIDIK tetapi tiba-tiba namanya tersenarai di Swinburne University College Kuching sebagai pensyarah.

Orang bujang dari Pulau Beruit ini sejak awal lagi cergas dalam pementasan dan pengarahan teater. Pernah terlibat dengan The Theater House Entertainment di bawah Selbiah Nawi, satu-satunya tauke bangsawan moden, sebelum syarikat itu ditutup kerana para pemegang kepentingan di dalamnya membawa laluan hidup berasingan tetapi tetap mesra sebagai sahabat.

Terbaru Zakaria Hassan terlibat di dalam pementasan Rosli Dhoby: Luka Darul hana yang dipentaskan di Kuching dan Sibu.

Akhir tahun lepas Zakaria terlibat di dalam Konvensyen Prasekolah dan memberi bengkel penggunaan kaedah lakonan dalam mengajar di peringkat prasekolah.

Apa lagi selepas ini, Zek?


Saturday, March 5, 2011

SENIFOTO: PEREBUTAN WILAYAH



Kalau kita telaah kebanyakan konflik dialami oleh manusia dan haiwan adalah kerana perebutan wilayah atau pencerobohan wilayah. Ada pihak yang tidak puas hati lalu mahu menakluki wilayah yang sudah dituntut oleh pihak lain sejak sekian lama.

Wilayah bukan sekadar tanah. Wilayah termasuk wilayah pengaruh, wilayah publisiti, wilayah pemasaran, wilayah kutipan hasil, malah wilayah cinta dan wilayah sanjungan.

Kita biasa benar dengar orang seni terutama seni persembahan tidak segan silu bertengkar dan berkelahi di khalayak ramai kerana ada pihak atau orang baru sudah mula mendapat perhatian atau diberi lebih perhatian oleh orang ramai atau pihak penerbit dan pengarah persembahan sehingga boleh menjejaskan wilayah populariti pihak lain.

Cakap-cakap ke arah itu sering terdengar apabila selepas persembahan atau sedang persembahan hendak diadakan.

Apakah di Sarawak, khususnya di Kuching berlaku juga perebutan wilayah demikian?

SENIFOTO: BUNGA BALSAM



Kadangkala kita beroleh ilham dan utas jalur fikir setelah memerhati alam sekitar dengan hati terbuka dan tanpa rasa sombong. Dalam pemerhatian kita harus sedar yang kita tidak lebih mulia daripada makhluk lain ciptaan Tuhan.

Kita akan dapat menerima kehidupan ini dengan lebih tenteram tidak kira apa sahaja dugaan dan cubaan yang dilontar ke laluan hidup kita.

Dengan melihat titis-titis embun pada kelopak bunga ini yang biasanya hanya kuat tarikan warnanya tanpa bau dan tidak pula tahan lama, teringat saya betapa lebih beruntungnya manusia ada ruang dan peluang memperbaiki diri daripada tidak semerbak menjadi harum mewangi nama dan pencapaian, dan daripada tidak menarik ingin menjadi orang terkenal dan disanjung tinggi.

Ruang perubahan diri begini tidak wujud bagi makhluk seperti flora dan fauna.

Bersyukurlah atas kurnia kepada kita.

Saturday, February 19, 2011

RENUNGAN DARULHANA



Darulhana watak yang dijayakan oleh Maria Afeeza Razali menunjukkan jiwa yang terganggu kerana jadi rebutan di antara Syed Danial dan Zuki.

Persembahan akhir Teater Lagu Darulhana akan diadakan di Auditorium Tun Ahmad Zaidi Adruce di Maktab Perguruan Batu Lintang, Kuching pada 20 Februari 2011. Persembahan percuma ini terbuka kepada orang ramai. Silalah datang beramai-ramai.

Thursday, February 17, 2011

PEMENTASAN LAGU DARULHANA

Maria Afeeza Razali @ Darulhana

Saksikan kehebatan lakonan, nyanyian dan tarian gadis cantik ini di Auditorium Tun Ahmad Zaidi di Maktab Perguruan Batu Lintangm, Kuching pada malam 18,19 dan 20 Februari 2011.

Dia menjadi rebutan di antara Syed Danial dan Zuki.
Siapa memenangi hatinya dan siapa memenangi bodynya?

Monday, February 14, 2011

ISTERI KK HAJI KASSIM DAUD TURUT BERLAKON

Hajah Jamilah Perdos

Hajah Jamilah Perdos yang juga dikenali sebagai Hajah Ham atau Hajah Ilot, isteri KK Tuan Haji Kassim Daud sebenarnya pernah berlakon pentas di Kuching dan di Limbang, dan bertemun jodohpun kerana suaminya seorang aktivis teater sejak remaja lagi.

Dalam persembahan teater Lagu Darulhana yang dipentaskan pada 18 hingga 20 Februari 2011 di Auditorium Tun Ahmad Zaidi di Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang Hajah Jamilah akan tampil dengan satu peranan kecil iaitu sebagai pemain gendang tradisi Melayu Sarawak.



Hajah Jamilah di samping suaminya KK Haji Kassim semasa latihan di DBP Cawangan Sarawak.

Dalam keluarga ini pernah ada adik Hajah Jamilah iaitu Allahyarham Jamil Firdaus yang pernah berlakon di bawah bimbingan dan arahan Allahyarham Mohd Esmawi Haji Husly.