Tuesday, November 30, 2010

PERTEMUAN PENGARANG SARAWAK 2010


Ini gambar sebahagian daripada peserta dan pembentang kertas kerja di pertemuan yang berlangsung dari Kampus UPM di Bintulu.

Saya dan Datu Dr Haji Adi Badiozaman Tuah terlibat di dalam pertemuan itu. Datu Adi menyampaikan ucaputama dan saya membentanngkan kertas kerja.

Datu Adi tiada dalam gambar kerana beliau terpaksa bergegas balik ke Kuching disebabkan ada urusan kerja yang memerlukan perhatian segera.

BEBERAPA PERKEMBANGAN




Malam tadi, 29 November 2010 diadakan satu mesyuarat pengurusan penerbitan Teater Darulhana. Banyak perkara ditimbulkan dan diputuskan.

Persembahan Teater Darulhana the musical akan diadakan akhir Mac 2011 memandangkan beberapa kerumitan teknikal dari segi penguyrusan menjelang hujung tahun ini. Juga dirasakan agak susah menyiapkan elemen tarian dan nyanyian dalam masa yang amat terhad sekarang.

Bagaimanapun pementasan teater Darulhana akan diteruskan sebagai sebahagian daripada acara sambutan tahun baru. Itu akan merupakan persembahan tanpa gerak tari muzikal, hanya elemen nyanyian integral dipersembahkan.

Selepas itu akan diadakan pementasan fragmen Darulhana The Musical dalam acara persembahan puisi ke sekolah-sekolah sekitar Kuching yang akan dikelolakan oleh Jawatankuasa Penerbitan dan Pengurusan. Persembahan fragmen itu bertujuan memperkukuhkan persembahan melalui eksperimen dan memperluaskan publisiti sambil memperluaskan khalayak melalui pendidikan seni partisipatif.

Oleh kerana jadual latihan akan disusun semula dan pemasukan elemen tarian dan muzik/nyanyian akan dimantapkan mulai sekarang.

SEDANG CUTI REHAT



Banyak perkembangan sejak entri yang lepas dan saya belum menyediakan entri baru sejak 23 November kerana saya telah sibuk dengan Pertemuan Pengarang Sarawak 2010 di Bintulu. Saya telah bentangkan kertas kerja dan terlibat sepenuhnya sepanjang pertemuan tiga hari sejak Jumaat lalu.

Ketika ini pula sedang berlangsung Kem Pembangunan Bakat para pelajar lepasan UPSR di SK(A) Datuk Haji Abdul Kadir Hassan. Seramai 90 orang pelajar terlibat di dalam bengkel penulisan kreatif, bengkel muzik dan nyanyian, bengkel lakonan dan teater, bengkel seni visual, bengkel bacaan al-Quran dan bengkel kepimpinan.

Turut bertugas sebagai fasilitator di kem bakat itu ialah Wezan Saili dan Beduwi Narawi.

Selepas ini saya akan terlibat di dalam penuh di dalam Baca Puisi di Laman Semandin dikendalikan oleh Ismail Hamdan Semandin sempena Maal Hijrah. Sesiapa yang ingin terlibat sama boleh ikut serta dalam acara santai itu. Ini elok untuk yang tidak pernah mendeklamasikan puisi.

Lepas itu saya mengetuai kumpulan pelaporan di Bengkel Bina Upaya Ummah di Pantai Damai bermula 10 Disember 2010.

Dengan jadual yang ketat begini ada kemungkinan saya akan berundur dari produksi Teater Darulhana.




Tuesday, November 23, 2010

JALOT JEMAN DIPELAWA UJI B AKAT



Begitu rumit agaknya mencari pelakon yang paling sesuai untuk watak Syed Daniel sehingga salah seorang peserta favorit dari Sarawak di dalam Pilih Kasih, Jalot Jeman telah dipelawa untuk sesi latihan demi menjalani uji bakat untuk watak itu.

Jalot dengan pengalamannya dalam bidang teater sekian lama, kebolehannya menari dan menyanyi memang memiliki kelebihan. Sebaik saya dia masuk pentas dan mula berlakon rakan sepentasnya dalam babak berkenaan iaitu Wahab Firdaus dan Dayang Radzifah, kedua-duanya memang sudah berpengalaman dapat menghidupkan babak itu dengan begitu berkesan.

Babak yang penuh emosi dan pertentangan pendapat di antara ibu dan ayah dengan anak mereka dapat diangkat dengan berkesan.

Apakah Jalot akan diberi watak itu?

Ada masalah lagi sebenarnya. Jalot semakin kukuh kedudukannya di dalam Pilih Kasih. Kalau ditakdirkan dia terus ke peringkat akhir, maka Jalot tidak dapat komited dengan kerja barunya itu.

Pening lagi.


Monday, November 22, 2010

DAYANG RADZIFAH TUNJUK TARING


Huuuuh. Sesekali Dayang Radzifah diberi peluang naik ke pentas menunjukkan taringnya dalam lakonan bergegar juga pentas dan dewan dengan kehebatan lakonannya.



Dalam latihan pada 22 November di DBP Sarawak Dayang berlatih watak Syarifah Yot, ibu Syed Daniel.

Dia dapat menimbulkan rasa meluat dengan lagak sombongnya sekali gus rasa gerun di hati penonton dengan lontaran suara dan keterampilan watak Syarifah Yot.



Bravo Suhom @ Cikgu Dayang. Sementara itu Tini yang sebelum ini memegang watak itu telah menunjukkan persembahan yang tidak kalah hebatnya. Memang hebatlah mereka sekarang berbekalkan kecekalan, pengalaman dan kemahuan yang kuat mahu berjaya.

Cikgu Dayang Radzifah Awang Umar di kalangan rakan-rakan seangkatannya dikenali sebagai Suhom iaitu watak dibawanya dalam Tugau drama yang legenda tulisan bersama dan arahan Zaini Ozea dan Allahyarham Mohd Esmawi Haji Husly dan pernah diarahkan oleh Glen Walford, seorang pengarah teater dari England.

Watak Suhom begitu berkesan dibawanya sehingga lekat nama itu padanya.

DARULHANA: YANG MANA SATU.....

KAMELIA

Dah lima nama setakat ini disebut akan memegang watak Darulhana di dalam pementasan Teater Muzikal Darulhana di Kompleks DUN lama di Petra Jaya pada 30 dan 31 Disember tahun ini dan 1 Januari tahun depan.

Yang sudah berlatih lakonan selama sebulan ialah Liya atau Hasmiliya Kassim, sementara nama Hamidah Tuah dan Mawar tersingkir walaupun ada kemampuan dan kelayakan kerana mereka masing-masing ada komitmen.

Malam 22 November ada tiga calon hadir di sesi latihan di Laman Seni, DBP Sarawak di Jalan Tun Abdul Rahman Yakub. Naik ke pentas untuk latihan kali pertama ialah Kamalia yang dikatakan pernah terlibat di dalam penggambaran drama tv tidak lama dahulu. Boleh tahan juga ligat lenggoknya dengan Cik Cik Bung. Riuh rendah dewan dibuatnya.

Memang ada rupa dan ada body untuk digilai oleh Zuki dan dimimpikan oleh Syed Daniel.


HASMILIYA

Liya juga hadir dan kali ini hanya menjadi pemerhati sambil tangannya lihat menghantar sms entah kepada siapa. Dengar khabar dia bercuti dua minggu dan akan mendaki Gunung Kinabalu dengan rakan-rakan sejawat iaitu cikgu-cikgu yang kini menikmati cuti sekolah.

Sekembali dari bercuti, dengarnya Liya akan diserap kembali ke dalam persembahan dengan peranan yang lain pula.






DAYANG KARTINI AWANG BUJANG

Turut hadir dalam sesi latihan pada 22 November ialah Dayang Kartini tenaga pengajar di ASWARA dan pernah bertugas di Istana Budaya. Kartini lulusan bidang seni persembahan dari UNIMAS sentiasa mengikuti perkembangan persembahan ini di blog ini dan di Facebook.

Kartini yang pernah mengadakan persembahan di Kuching dan mencatat kejayaan dengan drama Atap Genting Atap Rumbia arahan A.B.Nor.

Kartini memiliki kelebihan kerana pengalamannya luas termasuk penglibatan dalam persembahan di Istana Budaya semasa bertugas di sana dan kini dalam acara-acarta ASWARA yang menjadi satu-satunya institusi pengajar kesenian di negara ini.

Dia boleh menyanyi dan menari dan berlakon.


IMEJ BARU SYED DANIEL

Nah! Ini imej baru Syed Daniel yang dilakonkan oleh Roy Slyvester.

Dalam masa lebih sedikit sebulan Awang Bujang dan Baduwie akan mengubah imej ini menjadi seorang pemuda bangsawan yang lemah lembut sifatnya dan menghormati orang tua yang amat tegas mempertahankan darah keturunan dan enggan bermenantukan Darulhana, wanita seri panggung.

Itulah asas tema teater muzikal Darulhana. Hujungan ceritanya .. lu fikirlah sendiri.

Bagaimana hujungan pembentukan imej dan watak Syed Daniel Syed Mahdar lakonan Roy menjadi cabaran kepada pengarah, penolong pengarang dan pemegang watak.

Baduwie menjelaskan bahawa sebenarnya kesemua pelakon setakat ini masih dalam proses ujian untuk memegang watak-watak dan belum ada ketetapan muktamad.

Habis, kalau bukan Roy siapakah yang akan diberi watak Syed Daniel?

Ada beberapa nama telah disebut. Entah.

Friday, November 19, 2010

SUATU KETIKA DULU

Tempatnya di Tanjung Lubang, Miri dan sekitar 2 Januari 1981 selepas habis sambutan Manifestasi Budaya Sarawak 1 di Kolej Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang di Miri.

Gadis bersama saya itu Norani Abdullah, satu-satunya gadis India menganggotai Kumpulan Seri Sarawak/Seri Tarina ketika itu.

Manifestasi Budaya adalah satu acara tahunan mulaqi 1981 hingga 1984 anjuran anak-anak seni sendiri tanpa arahan dan dengan sokongan minimal daripada Kerajaan.

Dalam pada itu kami dapat mengadakan seminar budaya, pameran seni, permainan rakyat, lawatan sambil belajar dan kemuncaknya Majlis Memperingati Sumpah Budayawan dihadiri oleh Bapa Budayawan Allahyarham Datuk Haji Nor Tahir.

Entah bagaimana kami berani membawa rombongan lebih 40 orang dengan kapal terbang dari Kuching ke Miri dan bila nak balik, aduh kena cari tambang dan minta sana sini. Datuk Haji Nor akhirnya membiayai semua atas sumbangan peribadinya.

Susah nak difaham sekarang bagaimana anak sekum;pulan muda berusia sekitar 30-aan ketika boleh mengendalikan sendiri seminar, pameran dan sebagainya tanpa dokongan jelas daripada mana-mana pihak. Ini berlaku kerana semangat Sumpah Budayawan dan Seniman Muda Sedar Sarawak.

Masa itu Adi Badiozaman Tuah adalah pengerusi, Saiee Driss menjadi Setiausaha dan Awang Bujang Hamdan bendahari. Hahaha jadi juga rupanya, tak payah marah-marah dan merengek-rengek..


NARAWI RASHIDI BERKATA

Pengarah Muzik dan Nyanyian Projek Teater Muzikal Darulhana telah menghantar komentar di bawah ini melalui Facebook.

Rangka muzik2 Darul Hana dah ada, cuma belum proses rakaman. Terdapat beberapa lagu atau irama adalah ciptaan baru namun akan mengekalkan elemen muzik2 melayu.

Tak tahu lagi mana nak cari dana untuk membiayai rakaman?

Biasalah...muzik, melibatkan kos studio, sessionist dan lain-lain. Tapi saya nak cadangkan Soundtrack dibuat sebaik mungkin agar kualiti persembahan menyerlah.

Dan muzik tersebut kita boleh di "CD" kan dan dijual pada pementasan tersebut nanti. Mungkin hasil jualannya akan sedikit sebanyak dapat membantu menanggung kos pementasan atau kos rakaman itu sendiri.


Thursday, November 18, 2010

MASLI SULAI TERUNA SABAR

Masli teruna pendiam bukan Cina tulen tetapi anak IMalaysia yang wajah Cina jadi cirinya kerana ibunya memang keturunan Cina diangkat keluarga Melayu.

Dia bujang terang tang, dan belum ketemu jodoh. Agaknya macam lagu Cari Jodoh oleh Wali Band yang popular.

Nak dikata tak hensem tak juga. Boleh tahan hensemnya, dengan kulit putih dan badan gempal .
Itu cerita sampingan sebenarnya. Yang nak diceritakan ialah Masli sudah berbelas tahun rasanya terlibat di arena teater, sehingga kini belum ketemu kejayaan yang boleh dicatatnya sebagai titik perubahan di dalam hidupnya sebagai seorang anak seni.

Sekalipun demikian boleh dikagumi kerana dia tidak serik dan sentiasa menerima apa sahaja peranan dan tugas.

Bila berlatih dia sungguh-sungguh dan dalam latihan tarian boleh tahan juga lintuk liuknya menari di bawah bimbingan Wen, seorang bekas penari profesional.

Dalam pementasan Teater Muzikal Darulhana Masli dapatlah satu peranan kecil sebagai orang kampung dan rakan kepada Darulhana. Itu pun belum tetap sama ada kekal dengan peranan itu atau tidak.

Sabar ajelah Masli. Lepas ini cubalah pula menyimpang ke bidang nyanyian dan tarian secara lebih serius. Mana tau dengan menyanyikan lagu Cari Jodoh misalnya sambil menari dalam extra-turn bangsawan akan ketemu titik perubahan dalam kehidupan.

MALEK HASSAN YANG SERIUS BERLAKON


Malek Hassan berlatih seorang di sebalik alat-alat pembesar suara
ketika kawan-kawan melakonkan babak lain.

Satu ciri yang harus dihormati pada Malek Hassan ialah komitmen dan keseriusannya menjalankan kerja berlakon. Apabila diberi peranan Malek akan berlatih bersungguh-sungguh dan selagi tidak puas hati dengan pencapaiannya sendiri Malek akan kelihatan serius dan kadangkala bingung.

Dalam Teater Muzikal Darulhana Malek diberi peranan sebagai Duen sudah tua sedang Syed Daniel masa muda pula dipegang oleh Wen. Kedua-duanya pelakon hebat dan telah membuktikan kemampuan namun kali ini cabarannya lebih berat kepada Malek kerana perlu meniru dan memerhati keletah si Wen yang cukup istimewa dan memikirkan mana satu sifat dalam lakonan Wen sebagai Duen muda perlu dikekalkan sebagai sifat kekal.

Apa-apa pun teruskan Malek. Malek boleh!

LAMAN SENI DBP TEMPAT LATIHAN BARU

Helo, helo. Kita ke Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak di Petra Jaya untuk latihan Teater Muzikal Darulhana mulai Isnin.

Pihak pengurus persembahan sudah meminta kebenaran Datu Presiden Mantera supaya mulai Isnin, 22 November 2010, setiap Isnin hingga Rabu, latihan untuk Teater Muzikal Darulhana akan berlangsung di Laman Seni Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, Jalan Tun Abdul Rahman Yakub, di Petra Jaya.

Waktu latihan seperti biasa iaitu mulai jam 8.30 malam hingga sekitar 10 malam.

Sesi latihan akan ditambah apabila semua elemen pementasannya lengkap dengan muzik, nyanyian, tarian dan sebagainya.

Laman Seni ialah ruang persembahan di luar kantin DBP Sarawak.

Sebelum ini latihan untuk persembahan seni budaya memang biasa diadakan di DBP, sejak bangunannya di Simpang Jalan Rock dan Batu Lintang lagi.

Kalau hujan tidak turun dengan lebatnya, laman itu memang sungguh selesa untuk menjadi tempat latihan aktiviti seni.

Tuesday, November 16, 2010

HASMILIIYA ITU DARULHANA?

Ini Liya. Dia seorang guru bertauliah lulusan Diploma Pendidikan dari salah sebuah Institut Pendidikan Guru di negeri ini.

Di institut dahulu dia mengikuti pengajian drama tari sebagai salah satu subjek.

Nama penuhnya Hasmiliya Kassim dan kini mengajar di salah sebuah sekolah di Bahagian Samarahan.

Setiap malam ada latihan dia memandu sendiri keretanya dari Desa Ilmu di Kota Samarahan ke Rumah Sarawak. Lepas berlatih lewat malamnya dia memandu keretanya balik ke rumahnya.

Malam pertama latihan keretanya pancet dan terpaksa menumpang rakan balik ke rumah dan esoknya ke tempat kerjanya. Begitu mendalam minatnya untuk menjayakan Teater Muzikal Darulhana.

Semasa di institut perguruan Liya yang turut mengambil pengajian seni pernah mewakili institut ke Pesta Dramatari Institut Perguruan peringkat Negeri dalam mana Liya terpaksa menyanyi dan berlakon, iaitu ciri diperlukan oleh watak Darulhana dalam pementasan Teater Muzikal Darulhana.

Kini Liya melalui satu episod pengalaman yang cukup aneh dan bagi sesetengah orang memilukan. Dalam latihan demi latihan dia memegang watak Darulhana, heroin, tapi diberitahu yang dia bukan pemegang sebenar watak itu.

Kenapa? Mungkin kerana sebagai pelakon tunggal bertudung dalam kumpulan pelakon yang ada sekarang, orang sangsi kemampuan sebenarnya Liya berlakon dan mungkin imej bertudung itu menyebabkan orang tidak yakin akan kemampuannya memegang watak seri panggung yang terkenjit-kenjit dengan Cik Cik Bong. Aneh bukan.

Liya rasanya belum menunjukkan kemampuan sebenarnya menyanyi dan menari dan dia ada memiliki raut wajah yang boleh menggerak emosi simpati, iaitu wajah Darulhana. Dan dia juga memiliki sifat tegas dan berani, juga watak Daerulhana.

Dalam latihan pun dia sudah menunjukkan kemampuan sebenarnya berlakon dan hanya belum menunjukkan kehebatan sebagai penyanyi dan penari. Ini mungkin silapnya.

Liya cukup sabar melaksanakan tugasnya dalam latihan dengan baik sehingga boleh menggerakkan pelakon lain, termasuk watak Zuki dilakonkan Ali Mohamad dan Syed Daniel dilakonkan oleh Royston melaksanakan lakonan mereka dengan baik.

Entah bagaimana rasa hatinya kini melaksanakan tugas itu sedangkan dia sedar yang diri hanya stand in dan akhirnya mungkin diberi watak kecil sampingan atau tidak ada tempat langsung.

Apa-apapun Liya, anda anak seni sejati, yang sabar menghadapi tugas dalam seni sekalipun sedar pancaran lampu sorot nanti akan menyorot ke wajah lain. Tak cantikkah Liya?

GADIS CEMERLANG SYIKIN DAPAT 5A


Nama panggilan manja gadis ini Syikin atau Syafikah. Nama penuhnya pula Nur Syafiqah Asyikin Hazzuki. Badannya nampak montel dan tembam tapi dua baru lepas Darjah Enam dan dalam UPSR lepas dia dapat 5A.

Wow, tahniah Syikin, seorang lagi anak cemerlang daripada keluarga orang seni. Siapa kata orang seni asyik dengan seni dan tak tahu ajar anak?


Ini ibunya, pelakon Saniah Zainuddin, yang sejak remaja lagi sudah merayau di atas pentas dan sanggup merantau mencari ilmu sampai ke USM. Bidang pengajian dulu persembahan bangsawan.

Sesuai dengan minatnya Saniah mahu anak gadisnya masuk Sekolah Seni Kuching dan menjadi orang seni profesional dan bertauliah.

Tapi anak gadisnya kurang minat ke situ walaupun ada bakat. "Syikin mahu jadi profesor Sejarah' katanya.


Ayahnya Hazzuki Hazmi tidak berapa mahu mempengaruhi jalan hidup anaknya dan membiarkan dia memilih sendiri.

Dalam pementasan Darulhana ayah si Syikin bertugas sebagai Pengarah Teknikal dan Audio yang setiap kali latihan ada datang untuk memerhati. Katanya dia datang untuk memberi sokongan moral kepada rakan-rakan.

Ibu Syikin bertugas sebagai Pengarah Tatarias atau Mekap dalam produksi kali ini. Nak berlakon watak Darulhana tidak sesuai untuknya kini. Kalau dulu semasa dia pernah dinobatkan sebagai pelakon terbaik mungkin sesuai.

Tahniah sekali lagi kepada keluarga kini.

.. DARULHANA AAAAAA, MANA DARULHANA?


Inikah dia gadis seri panggung bangsawan itu?


Yang pemalu ini mungkin Darulhana. Darulhana?

Eh? Ini macam yang tadi. Ini Darulhanakah?

WATAK SYED DANIEL DILAKONKAN OLEH...


Inilah hero Teater Muzikal Darulhana. Peranan Syed Daniel, orang berdarah mulia dimainkan oleh Royston Kulleh Slyvester, keturunan Iban.

Roy menunjukkan lakonan yang cukup memberangsangkan, malah ramai di kalangan pelakon tidak sedar yang dia bukan keturunan Melayu. Roy akan melaluin ujian seterusnya iaitu menyanyi dan menari dan sebagai pemegang watak hero tuntutan baginya mengangkat emosi amat berat. Kita yakin Roy mampu melaksanakan tugasnya.

Tahniah Roy.

Monday, November 15, 2010

SENYUMAN MENAWAN


Senyuman mereka akan mendebarkan dada para penonton semasa pementasan Teater Muzikal Darulhana. Siapa mereka? Kita akan hurai dan perkenalkan mereka bila tiba masanya nanti. Iktui terus paparan semasa ke semasa di blog ini. Cantik kan, mereka ni?

SEMUA PELAKON BELAJAR MENARI


Apabila disebut sebuah persembahan teater muzikal maka tidak boleh tidak mesti adsa nyanyian dan tarian. Fulamak.... semua pemegang watak tak kira apa bentuk badan atau usia kena belajar menari.



Minggu lepas Pengarah Tari dan Kareografer, Sharkawi Haji Amit telah mengadakan kelas bimbingan khas untuk para pelakon di studionya Caperena di Batu Tiga. Di tempat latihan di Rumah Sarawak Wen pula jadi guru tari. Wen memang layak kerana dia pernah menjadi penari profesional di sebuah resort antarabangsa semasa di Kuala Lumpur suatu ketika dahulu.




Bayangkan Zuki yang kaki tumbuk dan belasah menari dalam lakonan ganasnya. Dan Ali yang memegang watak Zuki tidak memandang ringan hal itu. Apabila orang lain sudah berhenti berlatih di ruang utama Ali dengan seorang rakan berlatih sendiri di ruang lobi Rumah Sarawak.



Akibat syarat itu, KK Tuan Haji Kassim juga kena belajar balik menari. Tapi bagi Pak Haji Kassim itu bukan asing sebab pada waktu muda dan semasa mengadakan bangsawan dia biasa menari dan kali terakhir dia menari kalau tak silap ialah ketika RTM mengadakan ulangtahunnya ke-30 pada tahun 1973 di Kuching.


Di sini keliharan KK Haji Kassim Daud, Masli Sulai, Wezan, Shikin, Ali Mohamad dan lain-lain mengikut arahan Wen yang menjadi jurutari.






SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua pengunjung blog ini.

Semoga kita dirahmati dengan kesejahteraan dan kebahagiaan berpanjangan oleh Allah agar dapatlah kita terus memanfaatkan suasana dan usia kita untuk beramal ibadah dan melaksanakan tugas dengan ikhlas semampunya.

Manusia diletakkan di muka bumi untuk memewahkan bumi dengan kebijaksanaan dan akal budinya sebagai khalifah serta sentiasa melakukan ibadah kepadaNya sebagai hamba yang setia.

DATUK DR HAJI ADI TURUN GELANGGANG

Datu Dr Haji Adi Badiozaman Tuah mendengar taklimat Baduwie Narawi selaku
Penolong Pengarah sementara Saeit Ahmad dan Hazuki Hazmi di belakang.


Presiden Medan Teater Negeri Sarawak (MANTERA), Datuk Dr Haji Adi Badiozaman Tuah turun gelanggang dan menjenguk anak-anak buah berlatih lakonan teater muzikal Darulhana di Rumah Sarawak malam ini tadi. (15 November 2010)

Sejurus tiba anak-anak seni yang hadir bertepuk tangan menyambut beliau dan terus mengerumuni beliau untuk berjabat tangan. Kelihatan di atas Ali Mohamad dan Malek Hasan sebagai pelakon dan Saeit Ahmad selaku Pengurus Pentas menunjukkan skrip yang sedang mereka baca dalam latihan itu.


Datuk Adi bersila di lantai simen sejuk sambil mendengar taklimat daripada Awang Bujang


Seperti biasa Datuk Adi sedia duduk bersama-sama di lantai ketika mendengar taklimat dan penerangan daripada Penghulu Haji Awang Bujang Hamdan selaku pengarah Teater Muzikal Darulhana.

Ali Mohamad, Malek Hassan. Saeit Ahmad dan rakan-rakan menunjukkan skrip kepada Datuk Adi.

Dalam ucapan ringkasnya di pertemuan itu Datuk Adi yang juga Sasterawan Negeri mengucapkan terima kasih kepada semua mereka yang terlibat, tua dan muda kerana menunjukkan komitmen tinggi dalam keterhadan masa dan dana.

Bagi sesetengah pelakon di situ inilah kali pertama mereka bertemu tokoh budaya negerin yang menjadi pengasas Sekolah Seni di Malaysia dan juga pengasas dan penggubal teks Sumpah Budayawan dan Seniman Muda Sedar yang mengungkapkan semangat 1Malaysia 30 tahun lebih awal daripada ia menjadi gagasan negara oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.



ZUKI MENGAMUK LAGI



Set Teater Muzikal Darulhana malam ini tadi (15 November 2010) lagi apabila Zuki (lakonan Ali Mohamad) menyiksa mangsanya habis-habisan.

Ini adegan siksaan itu yang sempat kita rakam semasa diadakan latihan keempat malam ini. Ali terus berusaha merangsangkan rakan-rakan seperjuangan dalam pementasan itu untuk menghayati watak dengan menunjukkan aksi yang kadangkala menggerunkan.



Memang hebat Ali menunjukkan lakonannya sehingga sebahagian pelakon muda tergamam dan kecut perut. Hanya apabila babak siksaan itu tamat dan mereka semua ketawa barulah disedari yang semua yang Ali dan rakan-rakannya lakukan adalah lakonan dan menghidupkan wataknya.




Sunday, November 14, 2010

HIT 2000



... angka hit 2000 dicapai oleh blog ini pada jam 11 malam tadi, 14 November 2010. Itu kadar yang cukup cepat.

Diharap dengan adanya chat box dan dibuka ruang komenter akan lebih ramai singgah di sini.

Singgahlah.

Saturday, November 13, 2010

NAK KOMEN TAK BOLEH


Mejaku di pejabat BPPMIS Jalan Haji Taha

Pelakon Teater Muzikal Darulhana, Ali Mohamad mengadu ada ramai kawan dan peminat mahu membuat komen di blog ini di tetapi disebabkan mereka tidak memiliki akaun Google, atau Yahoo maka tidak boleh. Mereka tidak puas dengan membuat komen di link pada Facebook.

Saya cuba untuk membantu membolehkan mereka memasuki ruang komen tetapi setakat ini belum ketemu caranya sebab tidak mengetahui kaedahnya.

Ada sesiapa yang tahu bagaimana mereka yang tidak ada akaun Google dan Blogspot boleh memasukkan komen mereka?

Friday, November 12, 2010

POSTER CANTUMAN DUA ZAMAN




Ada sesuatu yang aneh pada poster ini. Cuba perhati bahagian hadapan poster itu, gambar beca dan penarik becanya. Poster asal terbit pada tahun 1955, dan penarik beca dengan baju berbelang dalam poster itu ketika itu baru berusia lima tahun sebenarnya. Maka ini kes cantum gambar yang cukup berjaya menggunakan gambar dari dua zaman yang jaraknya 55 tahun.

Terima kasih Kassim Majidi yang membina poster ini. Kassim seorang penyanyi dari Sarawak yang kini menetap di Kuala Lumpur.



AWANG BUJANG PENING KEPALA







Memang tidak boleh tidak Penghulu Haji Awang Bujang Hamdan atau lebih dikenali sebagai ayahanda atau Pak A.B.Nor di kalangan anak buahnya, pening kepala memikirkan urusan Teater Muzikal Darulhana.

Masa diperuntukkan amat pendek untuk penerbitan sebuah teater muzikal, orang sekurang-kurangnya ada enam bulan dia hanya ada dua bulan. Lagu belum ada lagi dan tidak diketahui bagaimana langgamnya.

Peruntukan daripada Medan Teater Negeri Sarawak (MANTERA) pula minimal sekali sedangkan jumlah orang yang terlibat hampir 100 orang. Nasib baiklah anak buah semua datang bertugas sukarela tanpa bekalan air minum atau alas perut. Itu dunia seni termasuklah di Sarawak.

Paling memeningkan ialah belum adanya calon sesuai untuk watak terpenting, Darulhana. Dalam pada itu teman-teman seniman yang tidak terpuilih untuk terlibat semacam merisik-risik secara cukup ketara minta diajak terlibat.

ERTINYA SEORANG SENIMAN


betapa dunia ini kelabu dan kaku
segala suara tanpa irama
segala gerak tanpa gaya
segala panorama tanpa warna
manusia pun membina impian
harapan dan fantasi

seniman, dalam hadirmu
kujiwakan impian dan fantasi itu
dalam senimu
dan seluruh kehidupan menjadi indah
seluruh dunia adalah pentas pawana
wangi dengan sanjungan

engkau pun menjadi hasrat dan harapan
bila kata-katamu adalah indungan
suaramu irama kehidupan
ketawamu muzik merdu
malah tangisan batinmu adalah hiburan
lalu seluruh dirimu lenyap dalam pemujaan
yang tiada batasnya

dalam hadirmu
disayangi dan diminati
segalanya dikagumi
lincah gayamu jadi keasyikan
juga cemuhan
santun membisu jadi pujian
juga momokan
perasaanmu tidak lagi disedari
dan kau tidak boleh lagi berhiba

kerana engkau bintang
harus tetap bersinar
sampai ke siang
engkau bukan lagi seorang insan
berdarah dan berjiwa
lalu engkau tidak diizinkan menderita
sekalipun dalam sejuta kepedihan
kerana engkau lambang kesempurnaan
fantasi dan nimpian
dipuja di puncak keagungan
lalu dilupai bila hilang seri

dan terpaksalah engkau wujud
menekan kesedihan
menyembunyikan kesepian
berbekalkan iman dan keyakinan
bahawa sesungguhbnya hidup ini
adalah lakonan.

Kuching
26 Ogos 1984

Sajak Saiee Driss dalam buku kumpulan puisi MAKNA terbitan GPPS, 1988


ISMAIL HAMDAN ORANG SEMANDIN

Sempat bertemu dan berbincang dengan Ismail Hamdan @ El-Bimbo @ Orang Semandin yang sudah kembali bertugas di JKKN Negeri Sarawak.

Oleh kerana duduk semeja dengannya semasa Majlis Tinta Kenyalang 2010 maka adalah ruang berborak.

Di antara yang dibincangkan ialah kemungkinan mengadakan acara baca puisi bulanan dengan tema tertentu setiap bulan.

Juga dibincangkan untuk lebih banyak pertemuan dan dialog terbuka di kalangan anak seni di bandar Kuching.

Ismail menceritakan dua orang anaknya kini turut sama-sama bergiat dalam aktiviti seni dan akan turut serta sekiranya ada aktiviti sesuai dengan mereka.

Ini bererti Ismail dah ada anak remaja walaupun dirinya sendiri masih kelihatan macam remaja sahaja.

Ismail yang telah lebih 20 tahun bertugas di luar Sarawak, tidak banyak berubah dan kelihatan masih hensem malah lebih mengancam.


TAHNIAH DILLAH UNTONG DAN HASLINA SYINA

Tahniah harus dicapkan kepada Hardiani Izzati Abdillah kerana mendapat 4A dalam peepriksaan UPSR baru-baru ini.

Dengan pencapaian itu ibubapanya Abdillah Untong, Pengarah Artistik Teater Muzikal Darulhana dan Haslina Syina yang dikatakan akan dilantik membantu Pengurus Pentas diberi penghargaan sebagai ibu bapa cemerlang oleh sekolah tempat Hardiani bersekolah.

Tahniah sekali lagi daripada semua yang terlibat di dalam Teater Muzikal Darulhana.

Abdillah dan keluarga kini bercuti dan balik ke rumah mertua di Kuala Kangsar, Perak. Dia akan kembali ke Kuching awal Disember dan bercuti dari pejabat sehingga awal Januari.

Tahniah sekali lagi, bapa cemerlang.

ALI DENGAN GAYA SAMSENGNYA





Sejak diamanahkan memegang watak Zuki samseng kampung, Ali kelihatan amat berusaha menghayati watak itu sehingga apabila sahaja bercakap tentang Teater Muzikal Darulhana dia akan kelihatan ganas dan bengis seperti watak Zuki.

Cuba saksikan gambar-gambarnya di sini.



DARULHANA? DI MANA DARULHANA?

Beberapa orang telah diuji dan beberapa nama telah disebut-sebut sebagai calon heroin Teater Muzikal Darulhana.

Nama Hamidah Tuah, penyanyi bersuara lantang dari Pentarama Jabatan Penerangan telah disebut. Hamidah memang layak dan memiliki semua ciri untuk watak Darulhana. Dia boleh menyanyi dan menari dan ada rupa yang boleh menyebabkan Zuki gila bayang, penonton juga tergila-gila.

Tapi dikatakan ada komitmen berpergian kerana tugas dan tidak memungkinkannya menjalani latihan intensif demi malam. Maklumlah kini musim mengidam nak election. Kalau kempen pilihanraya dah mula Hamidah memang tidak lekat di rumah.

Nama Mawar seorang kakitangan di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sarawak sudah disebut. Lebih hebat ialah Murni dicadangkan sendiri oleh Ali Mohamad dan rakan-rakan yang mengenalinya.

Penghulu Awang Bujang selaku pengarah berharap dalam latihan Isnin depan Mawar dapat datang untuk ujian kasting.

Atau apakah wanita di sebelah kanan ini yang akan memegang watak Darulhana?

Siapa dia?

Hahaha ....

Wednesday, November 10, 2010

ADI BADIOZAMAN TUAH JADI AHLI MPPK

Satu kebanggaan bagi negeri Sarawak bila seorang anak tempatan diiktiraf sebagai seorang pakar dan tokoh pendidikan dan dipilih menjadi salah seorang daripada tujuh orang ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan.

Majlis itu menjadi tempat merujuk Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri dalam hal ehwal pejaran dan pendidikan.

Orang itu ialah Datu Dr Haji Adi Badiozaman Tuah, Pengarah Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam.

Beliau adalah juga penasihat dan penerbit di dalam pementasan Teater Muzikal Darulhana yang kini sedang dalam proses penyediaan persembahannya.

Datu Dr Adi juga adalah contoh seorang seniman yang berjaya di dalam usahanya memajukan bidang seni dan budaya di Sarawak. Beliau merupakan satu-satunya penerima Anugerah Satera Negeri Sarawak yang masih hidup setelah perginya Mohamad Rakawi Yusuf dan Cikgu Haji Muhamad Bujang, dua pemenang anugerah itu sebelum ini.

Datu Dr Adi juga adalah pemikir dan pencetus kelahiran Sekolah Seni di Malaysia dan perancang dan penggubal perangka penubuhan sekolah rendah dan menengah agama di Sarawak.

Inilah juga orang yang menerajui gerakan Sumpah Budayawan dan Seniman Muda Sedar Sarawak yang mengungkapkan ikrar satu bangsa, satu bahasa dan satu kebudayaan yang dilafaz kali pertamanya pada 31 Disember 1979 di Kuching.

Datu Dr Adi jugalah orang yang mempelopori dan menggerakkan usaha mewujudkan Pertandingan Penulisan tahunan untuk guru-guru yang sejak lebih 25 tahun menghasilkan buku tahunan siri Cikgu. Buku tersebut merupakan antologi karya guru-guru yang memenangi peraduan penulisan tahunan anjuran Jabatan Pelajaran.

Dalam bidang penulisan Adi Badiozaman Tuah adalah seorang penyair, dramatis dan pengkaji budaya dan sastera dan pendidikan yang makalah dan kertas kerjanya dibentangkan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Kini juga beliau menduduki pelbagai majlis dan lembaga termasuk menjadi Ahli Majlis Islam Sarawak dan Ahli Lembaga Universiti Swinburne Sarawak.

Datu Dr Haji Adi Badiozaman Tuah adalah contoh seorang seniman yang bijak memanfaatkan seninya dan berjuang melalui seninya untuk memajukan masyarakat dan bangsa.

Tahniah Datu.