Wednesday, November 10, 2010

ADI BADIOZAMAN TUAH JADI AHLI MPPK

Satu kebanggaan bagi negeri Sarawak bila seorang anak tempatan diiktiraf sebagai seorang pakar dan tokoh pendidikan dan dipilih menjadi salah seorang daripada tujuh orang ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan.

Majlis itu menjadi tempat merujuk Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri dalam hal ehwal pejaran dan pendidikan.

Orang itu ialah Datu Dr Haji Adi Badiozaman Tuah, Pengarah Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam.

Beliau adalah juga penasihat dan penerbit di dalam pementasan Teater Muzikal Darulhana yang kini sedang dalam proses penyediaan persembahannya.

Datu Dr Adi juga adalah contoh seorang seniman yang berjaya di dalam usahanya memajukan bidang seni dan budaya di Sarawak. Beliau merupakan satu-satunya penerima Anugerah Satera Negeri Sarawak yang masih hidup setelah perginya Mohamad Rakawi Yusuf dan Cikgu Haji Muhamad Bujang, dua pemenang anugerah itu sebelum ini.

Datu Dr Adi juga adalah pemikir dan pencetus kelahiran Sekolah Seni di Malaysia dan perancang dan penggubal perangka penubuhan sekolah rendah dan menengah agama di Sarawak.

Inilah juga orang yang menerajui gerakan Sumpah Budayawan dan Seniman Muda Sedar Sarawak yang mengungkapkan ikrar satu bangsa, satu bahasa dan satu kebudayaan yang dilafaz kali pertamanya pada 31 Disember 1979 di Kuching.

Datu Dr Adi jugalah orang yang mempelopori dan menggerakkan usaha mewujudkan Pertandingan Penulisan tahunan untuk guru-guru yang sejak lebih 25 tahun menghasilkan buku tahunan siri Cikgu. Buku tersebut merupakan antologi karya guru-guru yang memenangi peraduan penulisan tahunan anjuran Jabatan Pelajaran.

Dalam bidang penulisan Adi Badiozaman Tuah adalah seorang penyair, dramatis dan pengkaji budaya dan sastera dan pendidikan yang makalah dan kertas kerjanya dibentangkan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Kini juga beliau menduduki pelbagai majlis dan lembaga termasuk menjadi Ahli Majlis Islam Sarawak dan Ahli Lembaga Universiti Swinburne Sarawak.

Datu Dr Haji Adi Badiozaman Tuah adalah contoh seorang seniman yang bijak memanfaatkan seninya dan berjuang melalui seninya untuk memajukan masyarakat dan bangsa.

Tahniah Datu.

2 comments:

  1. Sebaik-baiknya jadilah anak seni yang memberi sumbangan positif dan bermakna kepada masyarakat melalui kemahiran dan kemampuannya. Seniman yang berjaya ialah seniman yang berguna kepada orang lain bukan seniman yang yang hanya syok sendiri dan mengejar glamor dan kejayaan peribadinya sahaja.

    ReplyDelete
  2. tahniah!!!
    Ybgia Datu Penasihat yang gigih membangun kesenian Negeri Sarawak

    ReplyDelete