Assalamualaikum
Setelah lebih sebulan 'bercuti' kita kembali ke pentas untuk mengemukakan pelbagai laporan berita dan perkembangan serta peristiwa di sekitar dunia seni yang dapat kita kesan di Sarawak amnya dan di sekitar Kuching khasnya.
Di antara yang terkini ialah Teater Darulhana akan dipentaskan di TAZA pertengahan Februari dalam format yang lebih sederhana kerana sehingga kini masih gagal mendapat sebarang tajaan untuk pelaksanaannya.
Selain itu pasukan dan krew Darulhana menghadapi cabaran kerana sepanjang bulan lalu dan kini banyak tawaran berlakon termasuk untuk drama tv dan siri drama tv disampaikan kepada mereka. Di antara yang terlibat ialah dua watak utama iaitu Jalot Jeman yang menjadi Syed Danial dan Ali Mohamad yang membawa watak Zuki masing-masing akan mengendalikan penerbitan drama tv. Jalot akan mengusahakan 13 siri diluluskan oleh RTM melalui syarikat keluarganya. Ali pula diberi peluang di dalam 13 siri juga. Mereka masing-masing belum memberi butiran penerbitan.
Sebelum ini sesi latihan Darulhana tergendala kerana sebahagian pelakon penting Darulhana 'terpaksa' membanbtu menjayakan pementasan Rosli Dhoby luka Darulhana karya Abang Patdeli Abang Muhi dan arahan Helmi Isa.
Status semasa Darulhana tanpa penaja nampaknya tidak mematahkan hati kebanyakan pelakon dan kebanyakan mereka menyatakan kebanggupan untuk terus berlakon walaupun tanpa janji ganjaran besar. Setakat ini hanya seorang yang membayangkan kemungkinan undur dengan mengatakan masih memikirkan kedudukannya dan ada yang menyatakan masih mahu berehat sebentar.
Laman Facebook menjadi medan sebahagian artis Darulhana menyatakan pandangan dan pendapat. Dalam mesyuarat pengurusan projek ini baru-baru ini salinan kenyataan dalam laman itu menjadi salah satu bahan perbincangan terutama dengan masalah status projek itu tanpa penaja sehingga akhirnya pengarah pementasan Penghulu Haji Awang Bujang Hamdan terpaksa sanggup menyatakan hakikat itu kepada anak-anak seni yang membantunya.
Sementara itu senifoto semakin mendapat tempat dan semakin ramai peminat dan pengamalnya, terutama dengan wujudnya ruang pameran murah dan mudah iaitu Facebook. Kualiti gambar yang dipamerkan di Facebook juga semakin baik dan semakin canggih tekniknya.
Kini sudah wujud beberapa buah kelab senifoto dan diadakan banyak sesi fotografi termasuk dengan model. Maka medan juga terbuka bagi mereka yang berminat menjadi model.
Kursus-kursus senifoto yang kebanyakannya berbelanja mahal juga semakin banyak dikendalikan dan ramai juga yang turut serta walau yuran sehari atau dua hari lebih setengah ribu ringgit.
Sepanjang sebulan cuti memasukkan entri di blog ini pelbagai aktiviti termasuk Malam Mesra Anak Seni Sarawak telah berlangsung. Laporan lanjut dalam satu entri berasingan.
No comments:
Post a Comment