Monday, January 31, 2011

MENGIKTIRAF JASA SENIMAN


Apa dan siapakan seniman di mata pemimpin dan kerajaan dan masyarakat?



Petikan capan Y.B.Dato' Seri Hj. Mohd. Shafie b. Hj. Apdal (Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia) di majlis perasmian sambutan hari Seniman Kebangsaan 2008 pada 29 Mei 2008, khamis jam 9.30 pagi di pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Para seniman tanah air merupakan warisan kepada dunia seni. Sumbangan seniman kepada masyarakat dan negara dalam menghasilkan karya yang kreatif dalam bidang seni dan budaya sememangnya cukup bermakna.

Ramai tokoh seniman tanah air yang telah menyumbang kepada identiti serta nilai budaya kebangsaan. Sekiranya diteliti, para seniman tanah air turut mempunyai tanggungjawab untuk memenuhi hasrat melahirkan masyarakat yang mempunyai nilai - nilai murni seperti semangat kekentalan jati diri dan semangat cintakan kepada negara.

Justeru matlamat utama penganjuran hari seniman kebangsaan adalah untuk menghargai jasa, sumbangan, peranan dan pengorbanan para pengembang seni dan budaya tanah air. Tarikh 29 Mei pula dipilih bersempena dengan pemergian seniman agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee ke rahmatullah pada 29 Mei 1973. Umum mengetahui Allahyarham Tan Sri merupakan seorang tokoh seni tanah air yang telah menghambakan dirinya dalam seni dan budaya sehingga ke akhir hayatnya.

Selain daripada beliau, lakonan dan nyanyian oleh para seniman yang lain juga telah banyak memberi kesan serta mempengaruhi karakter seseorang. Mesej yang disampaikan pula mempunyai maksud yang tersirat, cukup mendalam dan disampaikan dengan bahasa yang indah.

Sebagai contoh, kita pasti teringat akan lakonan Allahyarham Nordin Ahmad sebagai Damak dalam filem Seri Mersing yang mengungkapkan kata – kata; “kajang Pak Malau kajang berlipat,
kajang hamba mengkuang layu, dagang Pak Malau dagang bertempat, dagang hamba musafir lalu.”

Dalam seni lakon dan filem, kita menyanjung nama – nama seperti Tan Sri Jins Shamsudin, Datuk Musthapa Maarof, Allahyarhamah Puan Sri Saloma, Datin Hajah Rosnani Jamil, Zaiton, Latipah Omar dan lain–lain.

Dalam seni teater, kita tidak lupa pada Allahyarham Mustapha Nor, Datuk Syed Alwi, Datuk Rahim Razali, Datuk Faridah Merican dan Ahmad Yatim.

Dalam seni lukis, seni kraf dan arca, kita mengagumi hasil seni Allahyarham Tengku Ibrahim Tengku Wok, Puan Hajah Zainab Mamat, Datuk Syed Ahmad Jamal, Datuk Husin Anas dan Dr. Latif Muhyidin.

Dalam bidang sastera dan penulisan, kita pernah membaca karya nukilan Allahyarham Datuk Dr. Othman Awang, Datuk Nordin Hassan dan Datuk A.Samad Said.

Dan yang terakhir dalam bidang penulisan dan penciptaan lagu, kita sentiasa teringat akan bait-bait lirik hasil ciptaan Datuk Ahmad Nawab.

Sesungguhnya seniman merupakan golongan yang menghasilkan kerja seni yang menjadi cerminan kehidupan, falsafah, jiwa dan ketulusan sesebuah bangsa. Oleh yang demikian, peranan seniman dalam apa jua bidang, adalah amat penting kerana merekalah yang melahirkan paparan wajah negara dan bangsa melalui karyanya.

Justeru bagi meraikan sambutan hari seniman kebangsaan, pelbagai aktiviti telah disusun yang menggambarkan keunikan, peranan dan sumbangan warga seni negara dalam menyumbang pembentukan bangsa Malaysia.



No comments:

Post a Comment